Thursday, 6 December 2012

Cara mendidik anak autisme

Memang diakui tidak mudah untuk mendekati kanak-kanak autisme kerana mereka bukan saja tidak pandai bersosial, memiliki kemahiran berkomunikasi terhad dan lebih suka bermain seorang, malah tidak menghiraukan orang lain dan seolah-olah ada di dalam dunia sendiri.


Secara fizikalnya mereka sama seperti kanak-kanak normal tetapi berbeza daripada segi kelakuan kerana individu autisme suka melakukan sesuatu berulang kali, taksub dengan objek berputar seperti kipas dan gasing, tidak mahu bertentang mata, tidak suka disentuh, susah bekerjasama dan tidak sabar menunggu giliran.
Walaupun sesetengah kanak-kanak autisme kurang bertutur, mereka masih boleh berkomunikasi melalui renungan mata, gerak badan, ekspresi muka dan penggunaan gambar yang sesuai, kata Perunding Bebas Pendidikan Kanak-kanak Autisme, Intan Miranti.

Mendidik anak autisme adalah tugas mencabar yang menuntut banyak kesabaran dan kreativiti. Tidak hairan jika ada ibu bapa berputus asa dan menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada guru. Namun, tindakan ini kurang tepat kerana ibu bapa perlu menyambung pendekatan pengajaran yang digunakan guru di rumah.

Individu autisme menunjukkan perlakuan yang sangat berbeza dengan kanak-kanak normal. Antara ciri utama kanak-kanak autisme ialah:


#  Tidak menghiraukan orang lain

#  Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain

#  Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap

#  Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang)

#  Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran

#  Lebih suka bermain sendiri

#  Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi

#  Lambat bercakap

#  Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang

#  Tidak boleh berkomunikasi dengan baik

#  Bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi atau bercakap macam robot

#  Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap)

#  Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya

#  Kanak-kanak autisme dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan bercakap seperti orang dewasa

#  Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan

#  Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing dan memutar objek

#  Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan

#  Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang

#  Tidak boleh duduk diam

#  Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang lain (dewasa)

#  Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri

#  Bersikap pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk

Apa yang boleh dilakukan guru?

Keadaan ini yang selalunya membingungkan ibu bapa, penjaga dan guru. Namun, kata Intan, beberapa strategi boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini iaitu:

#  Mengambil guru tambahan atau sokongan di dalam bilik darjah yang mengajar kemahiran melalui perbuatan sebelum masalah bermula. Guru akan duduk bersama pelajar autisme dan membantu mengangkat tangan pelajar untuk memanggil cikgu. Ini adalah latihan untuk memberitahu pelajar bahawa itu adalah cara untuk mendapat perhatian guru ketika di dalam bilik darjah.

Guru pula perlu memuji tindakan yang baik itu sebelum bertanyakan masalah pelajar. Bagaimanapun, proses ini mengambil masa untuk dilihat kesannya. Untuk lebih cepat, kaedah ini perlu diteruskan di rumah.

#  Gunakan cara yang mudah difahami, contohnya gambar untuk berinteraksi atau susunan jadual. Ajar anak cara sesuai untuk meminta sesuatu dan beri pinjam barang yang dikehendaki jika mereka gunakan cara hubungan atau komunikasi yang baik. Jika tidak, dia akan kembali ke cara negatif dengan mengamuk apabila permintaannya tidak dipenuhi.

#  Kenal pasti apa yang anak suka atau tidak. Pada peringkat awal, guna bantuan visual selama satu hingga dua minggu, mengikut keupayaan kanak-kanak.

#  Gunakan konsep pembayang awal. Kalau mahu menghentikan sesuatu aktiviti, beri amaran bahawa ia akan ditamatkan dalam masa beberapa minit supaya kanak-kanak itu bersedia. Jangan berhenti mendadak kerana walaupun mereka tahu bercakap, kanak-kanak autisme ada masalah kenali konsep masa.

Contohnya ‘lagi lima minit kita akan tutup televisyen’ atau ‘dalam kiraan lima kita akan berhenti bermain’. Guru perlu mengira penurunan masa dengan terang supaya kanak-kanak autisme mendengarnya.

#  Konsep pembayang awal ini juga memberi peluang kanak-kanak autisme bersedia untuk peralihan aktiviti. Bagi kanak-kanak normal, kepelbagaian rutin akan menambah keseronokan, tapi bagi kanak-kanak autisme, perubahan rutin membuatkan mereka berasa cemas dan gelisah, terutama yang kurang faham bahasa.

Mereka lebih mudah terima perubahan jika ia sudah dijangka. Jika selepas tempoh tamat dan kanak-kanak tidak mahu melepaskan barang dipegang, guru perlu mengambilnya juga kerana jika tidak, kanak-kanak ini tidak akan faham konsep masa. Pendekatan ini perlu dilakukan secara konsisten sama ada di sekolah atau rumah. Namun jika mereka terlalu asyik main, jangan gunakan pendekatan ini kerana ia dianggap sebagai teknik ‘negatif’.

#  Ajar anak buat kerja yang boleh dilakukan di rumah. Pastikan kerja dilakukan ada tujuan atau manfaat, contohnya meminta mereka membantu mengambil klip baju yang dijemur, kemas bantal atau buku. Jangan biarkan anak mempunyai terlalu banyak masa lapang.

#  Konsep sakit. Ajar anak kenal anggota badan dan sayangkan badan. Ini untuk mengelak mereka mencederakan diri dan proses ini mungkin ambil masa lama untuk difahami. Bina hubungan positif dengan pelajar. Kanak-kanak autisme lebih banyak membuat hubungan mata dan bercakap ketika bermain. Jadi ini masanya anda memberitahu bahawa mereka perlu sayangkan badan sendiri.

 Beri peluang anak membuat pilihan, terutama dalam aspek kehidupan mereka. Ini termasuk urutan kerja yang diwajibkan, sama ada pilihan baju, kedai yang hendak dikunjungi atau aktiviti masa lapang.

“Ibu bapa perlu bertanya dan berbincang dengan guru mengenai pendekatan digunakan di sekolah supaya ia boleh diteruskan di rumah kerana cara ini mempercepatkan proses pembelajaran anak autisme,” katanya.

No comments:

Post a Comment