Dari persepktif Islam, setiap anak yang lahir itu
adalah kurniaan Allah kepada kedua ibubapanya, baik anak itu dilahirkan
sempurna, mahupun sebaliknya. Kurniaan ini pula bukanlah diberi begitu
sahaja, sebaliknya dengan segala tanggungjawab dan amanah yakni untuk
membesarkan anak itu agar menjadi manusia yang berguna kepada keluarga,
agama dan masyarakatnya. Jadi, sama ada anak itu sempurna mahupun tidak,
tanggungjawab membesar dan mendidik mereka masih terletak di bahu kedua
ibubapa.
Selain itu, anak juga merupakan ujian
kepada kedua orang tuanya, untuk melihat ketaqwaan serta keimanan
mereka. Ini disebut dalam al-Quran, pada ayat 28 Surah al-Anfaal yang
bermaksud, �Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu
itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala
yang besar.�
Apabila dikatakan anak sebagai
ujian, ia bermakna melalui anak itu Allah menguji kedua orang tuanya.
Bila kita katakan Allah menguji kedua orang tua melalui anak mereka, ia
tidak semestinya bermaksud Allah menguji ibubapa dengan memberikan
anak-anak yang tidak sempurna. Walaupun ibubapa yang memiliki anak-anak
yang tidak sempurna ini diuji dengan hebat, tidak kurang ibubapa yang
diuji Allah walaupun anak-anaknya sempurna belaka. Walau bagaimanapun,
ujian-ujian ini adalah lumrah hidup bagi orang Islam dan Rasulullah
pernah bersabda yang bermaksud, �Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa
kaum mukmin lelaki dan wanita yang mengenai dirinya, hartanya, anaknya
(dengan sabar) sehingga ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak
berdosa.�
Jadi, dalam Islam, sama ada anak itu
sempurna atau sebaliknya, ia adalah kurniaan Allah dan ibubapa perlu
melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membesar dan mendidik anak-anak
itu. Di masa yang sama, ibubapa harus ingat bahawa anak-anak juga adalah
ujian dari Allah dan jika ujian ini dihadapi dengan redha dan sabar,
maka akan ada ganjarannya di akhirat kelak.
Ibubapa
yang dikurniakan anak yang kurang upaya hendaklah redha dengan kurniaan
tersebut. Dengan adanya sifat redha ini, akan lebih mudahlah bagi
mereka untuk menerima hakikat tersebut dan seterusnya mengambil
langkah-langkah yang sesuai untuk membantu anak itu. Tanggungjawab
terhadap anak itu perlu dilaksanakan sama seperti anak-anak lain dengan
memberi makan-minun, pakai dan tempat tinggal yang selesa, memberi
perhatian yang sewajarnya, pendidikan serta bimbingan. Satu perkara yang
perlu diingat ialah anak kurang upaya memerlukan perhatian yang lebih
dari anak normal kerana jiwa mereka yang lebih sensitif. Mereka juga
perlu diberi pendidikan agama kerana walaupun cacat, mereka tetap perlu
menjadi seorang Muslim yang baik. Tambah pula, ilmu agama ini akan
memudahkan mereka menerima hakikat kelahiran yang sedemikian rupa.
Ibubapa juga perlu memberikan motivasi kepada anak-anak ini agar tidak
berputus asa dalam menghadapi hidup.
Membesarkan
anak kurang upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Berbagai cabaran yang
akan dihadapi. Namun segalanya perlu dihadapi dengan tabah dan sabar .
Sabar dengan kepenatan (terutamanya jika anak tadi tidak boleh
menguruskan dirinya sendiri dan memerlukan kedua ibubapa menguruskan
dirinya). Sabar dengan kerenah anak itu. Sabar dengan segala
keperluannya (baik dari segi masa, penjagaan, rawatan, ubatan dan
sebagainya). Oleh itu, kesabaran perlu ada pada diri ibubapa yang
memiliki anak-anak kurang upaya.
Di samping itu,
ibubapa perlu ingat bahawa walaupun anak itu kurang dari satu aspek, ia
tentu mempunyai kelebihan dalam aspek yang lain. Sebagai contoh, orang
yang cacat penglihatan biasanya terang mata hatinya. Jadi, ibubapa perlu
mencari kelebihan serta kekuatan anak tersebut dan mengembangkannya.
Sebagai contoh, seorang anak yang cacat penglihatan, mungkin berbakat
untuk menjadi penyair yang terkenal.
Jadi, dalam
membesarkan anak-anak kurang upaya, ibubapa perlu redha, sabar,
melaksanakan tugas dan memfokus kepada kekuatan anak itu.
Sebaliknya,
jika ibubapa tadi bersikap dengan sikap-sikap sebaliknya seperti tidak
redha, tidak sabar dan enggan melaksanakan amanah, maka bukan sahaja ia
memudaratkan dirinya sendiri tetapi juga anak yang tidak berdosa itu.
Misalnya, jika ibubapa tadi tidak redha dengan pemberian Allah dan
terus-terusan bertanya, �Mengapa Tuhan memberikan aku anak yang cacat?�
atau �Mengapa aku yang terpaksa mendapat anak yang cacat dan tidak orang
lain?�, maka, ia bukan sahaja dimurkai Allah kerana tidak menerima
qahda dan qadar, serta mempersoalkan kuasa Allah tetapi juga dengan
sikap yang sedemikian, mereka tidak akan menerima hakikat tersebut. Bila
ibubapa tidak mahu menerima hakikat itu, maka agak sukar untuk mereka
bertindak balas sewajarnya. Jika pasangan itu tidak sabar pula, maka ada
kemungkinan anak tadi akan disakiti, baik secara mental, mahupun
fizikal. Begitu juga, jika ibubapa tadi tidak mahu melaksanakan
tanggungjawab mereka terhadap anak itu, mereka mungkin akan
mengabaikannya dan kebajikan anak itu tidak akan terurus.
Bagi
pihak insan-insan yang istimewa atau orang-orang kurang upaya inipun,
ada sikap-sikap tertentu yang perlu mereka ambil. Misalnya, mereka
hendaklah redha dengan ketentuan Tuhan. Tentu ada sebabnya mengapa Tuhan
lahirkan atau tentukan hidup mereka begitu. Usah dipersoalkan mengapa
Tuhan jadikan begitu � itu hak Allah. Sebaliknya, terima hakikat itu dan
lakukanlah sebaik mungkin dengan apa yang ada. OKU juga perlu tabah
menghadapi segala cabaran yang melanda. Mereka perlu kuatkan semangat
dan cekalkan hati kerana dengan kekurangan-kekurangan itu, mereka
memerlukan usaha-usaha yang lebih berbanding orang-orang yang normal.
Oleh itu mereka tidak boleh mudah berputus asa. OKU juga perlu sabar
dengan segala dugaan yang mendatang. Minta bantuan keluarga untuk
mengenalpasti kelebihan yang ada pada diri serta kembangkan kelebihan
itu dan jika boleh, gunakan kelebihan itu untuk berdikari dalam hidup.
Bagaimana
pula sikap kita � ahli masyarakat yang normal � terhadap golongan
kurang upaya ini? Kita perlulah melayan mereka sama seperti kita melayan
orang yang sempurna. Kekurangan yang mereka miliki bukanlah tiket untuk
kita melayan mereka secara sambil lewa, apa lagi untuk menghina mereka.
Sehubungan dengan itu, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu
peristiwa yang terjadi kepada Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan bahawa
pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum iaitu
seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w.
sedang sibuk melayani pemuka-pemuka Quraish dan mendakwah mereka kepada
agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, Baginda pun memalingkan muka
Baginda dari beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada
pemuka-pemuka Quraish tadi. Dengan kejadian itu, Allah pun mewahyukan
ayat 1- 11, Surah Abasa yang bermaksud,
�Ia
memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali
ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati
daripadamu)! � ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan
itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya
telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran Al-Quran), maka engkau
bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia
tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). Adapun orang yang
segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar
perintah-perintah Allah) � maka engkau berlengah-lengah melayaninya.
Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat
Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). �
Diriwayatkan bahawa setelah turunnya ayat-ayat itu, Rasulullah s.a.w. pun mengalihkan perhatiannya kepada Ummu Maktum.
Peristiwa
di atas menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu ada kecacatan
tertentu, maka kita harus melayaninya seperti orang lain, terutama jika
mereka mendekati kita bagi tujuan untuk mengetahui dengan lebih mendalam
tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Oleh itu, sebagai
ahli masyarakat yang akan sentiasa berdepan dengan OKU, kita perlulah
mengamalkan sikap-sikap yang tertentu agar kebajikan serta hak-hak
mereka terpelihara.
Pertama sekali, kita perlu
menerima mereka sebagai sebahagian dari ahli masyarakat kita. Kehadiran
mereka bukanlah untuk dihina atau diketawakan tetapi untuk difahami dan
dibantu. Selain itu, kita perlu tahu kekurangan serta keperluan mereka
agar dengan pengetahuan itu, kita dapat memberi kemudahan-kemuadahan
yang diperlukan seperti tandas khas, tempat letak kereta serta laluan
yang mudah untuk ke mana sahaja atau untuk melakukan apa sahaja.
Di
masa ini, memang telah ada tandas khas dan tempat letak kereta khas
untuk OKU tetapi kewujudannya tidak terlalu meluas. Malah, seringkali
juga kemudahan-kemudahan ini disalahguna oleh orang-orang yang sempurna.
Berkaitan dengan laluan yang mudah pula, apakah kita menyediakan laluan
untuk kerusi roda yang bersesuaian? Apabila kita sedang berbaris untuk
membayar bil atau apa sahaja, apakah kita mengharapkan OKU itu berbaris
juga?
Begitu juga rumah-rumah ibadat, apakah ia
mesra OKU? Masjid kita, apakah ada tempat letak kereta untuk OKU? Laluan
kerusi roda untuk mereka bersembahyang berjemaah di Hari raya,
misalnya? Apakah ada kelas-kelas tertentu untuk mereka mendapatkan
bimbingan? Bolehkah seorang yang cacat penglihatan pergi ke masjid untuk
belajar membaca al-Quran? Bolehkah seorang yang cacat pendengaran pergi
ke masjid untuk diberi penerangan tentang Islam dengan menggunakan
bahasa isyarat? Jika semua soalan yang diutarakan pada para ini dijawab
dengan �Tidak�, apakah sebenarnya persepsi kita tentang OKU? Apakah kita
melihat kekurangan mereka sebagai satu pengecualian dari tanggungjawab
untuk mendalami serta mengamalkan Islam seperti orang lain? Atau kita
memang tidak pernah memikirkan hal ini?
Untuk
hidup bersama dengan OKU, kita perlu menjaga sensitiviti mereka. Seorang
OKU (cacat anggota yang memerlukannya duduk di atas kerusi roda) pernah
bercerita tentang pengalaman dirinya sendiri di mana di masa kecil,
kawannya dihalang dari bermain dengannya dengan kerap kerana ibu
kawannya itu takut anaknya tidak mendapat latihan jasmani yang mencukupi
(memandangkan tiada banyak aktiviti yang boleh dilakukan dengan seorang
yang duduk di atas kerusi roda). Begitu juga seorang yang saya kenali
menakut-nakutkan anaknya dengan OKU yang tinggal di sebelah rumahnya.
Apakah ini caranya kita mendidik anak? Bukankah kita patut mengajar
mereka berbaik dan membantu OKU dan bukan sebaliknya?
No comments:
Post a Comment