Seorang muslim terutama ibu dan bapa, hendaklah melihat kepada anak istimewanya sebagai anugerah Allah, untuk menguji sejauh mana kesabarannya dalam menghadapi ujian itu. Anggaplah anak istimewa itu sebagai manusia yang sempurna, hanya ia dipilih Allah untuk diuji, bagi menentukan kedudukan sebenar diri dan keluarganya pada masa-masa hadapan.
Tiada sebarang keraguan untuk menerima hakikat bahawa rezeki akan bertambah, hidup bahagia bersama anak-anak, suami dan keluarga tanpa sebarang masalah adalah sebahagian daripada keberkatan yang melimpah daripada keikhlasan menjaga anak yang istimewa itu. Memang biasa berlaku dalam takdir Allah, menarik balik sesuatu, kemudian menggantikannya dengan sesuatu yang lain.
Anggaplah kemewahan hidup dan kebahagiaan yang rasai itu sebagai balasan pendahuluan di dunia. Balasan sebenarnya, jika diizin Allah akan menyusul pada hari akhirat nanti. Selain menjaga kepentingan makan minum dan kebajikan anak istimewa, kita juga perlu mempunyai kefahaman yang lebih tinggi tentang anak-anak istimewa, meliputi hak-hak pendidikan yang patut diberi, tanggungjawab masyarakat dan layanan kekeluargaan yang sepatutnya diambil berat, supaya masa depannya lebih cemerlang dan terjamin.
Kewujudan anak istimewa atau cacat dalam sesebuah keluarga, bukan sesuatu yang luar biasa. Kadang-kadang kecacatannya tidak menghalangnya untuk terus maju dan membina masa depannya yang baik. Cacat penglihatan, anggota kaki tangan dan sebagainya, belum tentu fikirannya juga turut cacat. Apa yang penting ialah berusaha mencari jalan supaya anak itu mampu berdikari dan tabah menghadapi nasib yang menimpa dirinya. Tanamkan keyakinan padanya bahawa ia boleh maju seperti juga orang lain.
Dalam sejarah Islam, kita saksikan ramai orang yang cacat anggota, tetapi tidak menghalang mereka menjadi seorang yang kedudukannya dihormati. Sebagai contoh, `Ata' ibn Rabah seorang ulama tabiin dan ahli fiqh Islam terkemuka di Mekah.
Beliau diberi tempat yang sangat istimewa dalam kerajaan Umawiyah fatwa-fatwa semasa yang keluar daripadanya, dianggap sebagai lebih tepat dan terbaik. Beliau juga seorang yang mempunyai kehormatan diri yang tinggi, kerana ia pernah menyatakan: Aku tidak mempunyai sebarang hajat daripada pemerintah. Segala khidmat dan sumbangan beliau adalah ikhlas kerana Allah subhanahu wa taala.
Penulis-penulis riwayat hidup `Ata' mencatatkan bentuk badan beliau sebagai berkulit hitam, hidungnya kempis, kakinya tempang, tangannya lumpuh dan akhirnya tangan yang lumpuh itu terputus dalam suatu peperangan bersama-sama Abdullah ibn al-Zubair.
Kecacatan demi kecacatan yang menimpa Ata' tidak menghalang Khalifah Abdul Malik ibn Marwan untuk menjemput beliau dan menempatkannya bersama dalam majlis-majlis rasmi pemerintah.
Di kalangan ulama dan periwayat hadis pula, kita dapati ramai perawi yang cacat anggota, tetapi hadis dan riwayatnya tetap menjadi rebutan murid-murid yang cintakan hadis. Antara mereka ada yang dikenali dengan gelaran al-a'raj (capik atau tempang), seperti Abdul Rahman ibn Hurmuz, Yahya bin Zakariyya, Muhammad bin Yusuf, semuanya adalah rawi-rawi hadis yang kakinya tempang. Ada juga yang dikenali dengan gelaran al-a'masy (rabun mata), al-asam (pekak), al-aftas (hidung kempis) sehingga gelaran ini dikekalkan sebutannya pada hujung nama masing-masing dan di dalam karya-karya agung Islam yang mengabadikan nama-nama mereka.
Dalam al-Quran menyebutkan kisah seorang sahabat Nabi yang cacat penglihatan, beliau ialah Abdullah ibn Ummi Maktum. Allah pernah menegur Nabi-Nya, apabila tidak memberi layanan sepenuhnya kepada Abdullah, tatkala beliau datang meraba-raba ke majlis Nabi yang pada ketika itu sedang bersama-sama beberapa pembesar Quraisy. Kisahnya disebutkan dalam beberapa ayat pertama dalam surah bilangan yang ke-80.
Ayat-ayat itu menegur Nabi dengan menyatakan, mungkin si buta ini lebih suci hatinya daripada orang-orang besar Quraisy yang kamu layani mereka. Nabi sangat tersentuh dengan teguran itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Imam al-Zamakhsyari seorang ulama tafsir yang sangat dikagumi ilmu dan kepakarannya dalam pelbagai bidang, adalah seorang yang cacat kakinya, tetapi semuanya itu tidak pernah mengganggu kehidupan ilmiahnya. Dalam sejarah negara kita, pernah menyaksikan seorang ahli Parlimen yang cacat anggota, mampu berpidato berjam-jam dalam Parlimen. Beliau ialah Profesor Zulkifli Muhammad, bekas ahli Parlimen Bachok dan bekas pensyarah Kolej Islam Malaya.
Teringat lagi kepada satu ayat al-Quran dalam surah al-Haj, iaitu ayat 46 yang membawa maksud: Bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada dalam dada. Ayat ini memperkatakan segolongan manusia yang gagal hidup dalam baik, kerana tidak memanfaatkan anggota yang diberi Allah kepadanya. Cacat mata kepala tidak mengapa, tetapi jangan cacat mata hati.
Kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. ada yang cacat mata, kepala, seperti Abdullah ibn Abbas dalam usianya yang akhir. Beliau kerap dipermain- mainkan oleh kawan-kawan kerana penglihatannya itu, tetapi beliau menjawab kepada mereka: Jika Allah telah menarik penglihatanku menjadi gelap, lidah dan hatinya masih terang bercahaya.
Merujuk soalan selanjutnya, bolehkah diwasiatkan sebahagian harta peninggalan kepada anak istimewa, tanpa mengikut hukum faraid. Pada dasarnya pembahagian harta pada masa hidup hendaklah dibahagikan sama rata antara anak-anak, sama ada lelaki atau perempuan. Pembahagian Pembahagian yang tidak sama, boleh menimbulkan prasangka dan buruk hati antara adik-beradik yang bersaudara. Saya berpendapat kecacatan pada anak istimewa tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak disamakan pembahagian, kecuali setelah mendapat persetujuan semua anak.
Adalah lebih baik bagi kita menanamkan pada semua anak rasa tanggungjawab terhadap anak mereka yang cacat, daripada mengambil sebahagian harta untuk diberi khusus kepadanya, tanpa persetujuan adik-beradik yang lain. Imam al-Bukhari menegaskan, pembahagian harta yang dibuat dengan tidak adil sama ada berpilih-pilih adalah zalim dan melampau.
No comments:
Post a Comment